Friday, March 25, 2011
Perceraian Ibu Bapa Tidak Halang Nurfatin Cemerlang Dalam SPM
Perceraian Ibu Bapa Tidak Halang Nurfatin Cemerlang Dalam SPM
(23 Mac 2011, Bernama)-- Walaupun ibu bapanya bercerai, namun Nurfatin Ahmad, 18, tidak pernah menganggap keadaan itu sebagai penghalang untuk melakar kejayaan dengan memperoleh 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan Rabu.
Semasa ibu bapanya bercerai, Nurfatin baru sahaja melihat dunia dan tidak tahu apa-apa tentang kejadian itu.
"Ibu dan bapa saya bercerai ketika saya masih kecil. Selepas mereka bercerai, saya dijaga oleh nenek kerana ibu saya bekerja di sebuah kilang di Sungai Petani sehinggalah saya berumur 10 tahun," katanya ketika ditemui di sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Malik di sini hari ini.
Katanya walaupun tidak mendapat kasih sayang seorang bapa, dia tidak pernah merungut dan sentiasa berusaha untuk mengubah masa depan keluarga.
"Walaupun ibu saya sudah kahwin lain, tetapi ibu tidak pernah mengabaikan saya dan memberi didikan yang sempurna walaupun dia hanya berniaga di gerai makan.
"Sekarang saya tinggal bersama nenek, ibu, bapa tiri dan adik-adik di Pantai Johor (di sini) dan saya harap kejayaan saya ini menjadi pembakar semangat adik-adik untuk terus berjaya," kata Nurfatin.
Dia yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang petroleum dan gas berkata kejayaannya itu tidak pernah dijangka kerana dia hanya mengambil kelas tambahan untuk dua mata pelajaran sahaja kerana tidak mampu untuk membayar yuran.
"Saya banyak menumpukan perhatian ketika guru mengajar dan Alhamdulillah, berkat usaha guru-guru dan doa ibu dan nenek, saya berjaya dalam SPM," katanya yang merupakan pelajar aliran Sains Tulen.
Rakannya, Muhammad Hazmi Abdul Malik, 18, yang turut memperoleh 10A berkata tumpuan dalam kelas sangat penting untuk memperoleh kejayaan.
"Walaupun saya ada juga mengambil tuisyen di luar, tapi apa yang diajar oleh cikgu sudah cukup untuk kita berjaya," kata anak bongsu daripada empat adik beradik.
Katanya dia mahu menyambung pelajaran di dalam negara sahaja kerana baginya universiti dalam negara juga adalah yang terbaik untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang doktor.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment