Friday, March 25, 2011

Pelajar Rabun Bukti Kekurangan Diri Tidak Jejas Keputusan SPM


Pelajar Rabun Bukti Kekurangan Diri Tidak Jejas Keputusan SPM

TUMPAT, 23 Mac Bernama)-- Muhammad Abdul Hadi Othman, 18, pelajar rabun mata teruk mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) biarpun enam bulan ketinggalan dalam pelajaran akibat penyakitnya itu.

Beliau berkata disebabkan fizikalnya normal, kawan-kawannya langsung tidak mempercayai beliau mengalami masalah 'keratokonus' atau masalah kornea mata.

Malah, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Falahiah, di Pasir Pekan dekat sini, hanya mengambil masa selama beberapa bulan untuk memahami semula apa yang diajar gurunya sejak awal tahun kerana beliau terlalu jauh ketinggalan akibat duduk di tempat belakang dalam kelasnya menyebabkan beliau tidak dapat melihat apa yang ditulis oleh gurunya pada papan hitam.

"Kawan menganggap Hadi hanya mengada-ngada mahu duduk di depan. Sebab itu Hadi mengambil keputusan mendiamkan diri selama setengah tahun," kata anak keempat dari tujuh beradik itu kepada pemberita ketika ditemui di sekolahnya Rabu.

Beliau kemudian memaklumkan perkara itu kepada ibunya sebelum memaklumkannya kepada guru sekolah tetapi akibat ketiadaan surat pengesahan hospital menyebabkan masih ramai rakan yang enggan bertukar tempat duduk dengan beliau walaupun diarahkan oleh guru mereka.

"Mujurlah selepas itu Hadi dapat surat pengesahan dari doktor pakar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) mengenai masalah mata Hadi. Cikgu telah meletakkan Hadi hampir dengan meja guru di hadapan untuk memastikan Hadi nampak apa yang diajar," katanya.

Walaupun hanya berbaki beberapa bulan lagi untuk mengambil SPM, beliau bertungkus lumus belajar bagi memastikan beliau mampu menjawab soalan peperiksaan dengan baik dan akhirnya beliau yang mengambil aliran sains berjaya mendapat keputusan 5A, 3B, 2C dan 1D.

Muhammad Abdul Hadi berkata beliau menduduki peperiksaan SPM menggunakan kertas peperiksaan khas yang dicetak untuknya sebesar akhbar Sinar Harian dan dengan kejayaannya itu beliau berhasrat menyambung pengajian dalam bidang perundangan syariah.

Sementara itu, ibu Muhammad Abdul Hadi, Maziah Mohd Daud, 51, ketika ditemui berkata beliau tidak menyangka anaknya itu mendapat keputusan 5A dan menjadi antara pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) yang cemerlang di negeri ini.

"Saya terkejut bila cikgu sekolah Hadi petang tadi telefon suruh saya datang ke sekolahnya sebab setahu saya Hadi telah pergi mengambil keputusan SPM-nya seorang diri, jadi saya ketika itu hanya memikirkan apakah kesilapan yang Hadi lakukan sehingga cikgu sekolahnya memanggil saya," katanya.

Maziah berkata beliau tidak menemani anaknya itu untuk pergi mengambil keputusan SPM atas permintaan anaknya yang memaklumkan keputusan SPM yang diperolehinya tidak baik.

Sementara itu, salah seorang pelajar paling cemerlang di Kelantan yang mendapat 11A+, Muhamad Izzat Syameer Mohd Zaid dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati di Pasir Mas pula berkata kejayaan bukan diukur daripada kehebatan sekolah yang diduduki sebaliknya kemampuan dan kesungguhan diri menjadi tunjang utama setiap kecemerlangan hidupnya.

Katanya beliau sentiasa mendapat keputusan nombor satu di dalam peperiksaan kelas dan 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), namun beliau tidak melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh atau sekolah elit kerana mahu kekal berada di SMKA Lati.

"Saya selalu ingat pesan ayah, 'kalau awak bagus, buktikan awak bagus tidak kira di mana pun awak berada dan di mana pun awak belajar, apa yang penting adalah kesungguhan diri untuk capai kejayaan'," katanya.

Izzat berkata beliau berhasrat melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah dan bercita-cita untuk menjadi pakar bedah jantung.

No comments:

Post a Comment