Friday, March 25, 2011
Empat Calon Istimewa Antara 792 Calon SPM Di Kl Catat Keputusan Cemerlang
Empat Calon Istimewa Antara 792 Calon SPM Di Kl Catat Keputusan Cemerlang
(23 Mac 2011, Bernama)-- Empat calon istimewa adalah antara 792 orang atau 3.92 peratus daripada 20,377 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mencatatkan keputusan cemerlang (gred A+, A dan A-) untuk semua mata pelajaran di Kuala Lumpur yang diumumkan Rabu.
Mereka adalah empat calon berkeperluan khas iaitu dua calon rabun, seorang calon buta serta seorang calon pelbagai kecacatan dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas (cacat penglihatan ) Setapak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki.
Pengarah Pelajaran Negeri, Mohd Adenan Deraman berkata mereka memperoleh keputusan cemerlang dalam semua 10 mata pelajaran yang diambil.
Gred purata negeri (GPN) juga meningkat kepada 4.74 berbanding 4.92 tahun lepas, jauh mengatasi GPN SPM 2010 yang mencatatkan pencapaian seluruh negara setinggi 5.19.
Sekolah terbaik di bandar raya ialah Sekolah Menengah Sains Alam Shah, SM Sains Seri Puteri dan SM Sains Selangor.
Di KOTA BAHARU, Kelantan mencatatkan GPN tertinggi dalam tempoh tujuh tahun bagi peperiksaan itu.
Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, Hussain Awang berkata GPN negeri itu adalah sebanyak 5.15, meningkat sebanyak 0.11 peratus berbanding peratusan GPN pada tahun 2009 iaitu 5.26.
Beliau berkata daripada 35,594 calon yang menduduki SPM di negeri itu, seramai 278 calon memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+, A dan A-) dalam kesemua mata pelajaran yang diambil manakala daripada jumlah itu enam calon mendapat keputusan cemerlang A+.
Di KUANTAN, seramai 381 pelajar memperoleh A dalam semua mata pelajaran di Pahang berbanding hanya 321 pelajar pada tahun sebelumnya.
Pelajar cemerlang negeri adalah Chan Shu Ren dari Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Ching Raub yang memperolehi keputusan 11 A+.
Keputusan cemerlang turut dicatatkan pelajar Orang Asli dengan yang mencapai keputusan cemerlang ialah Nornita a/p Sham Song dari SM Sains Sultan Ahamd Shah, Pekan yang mendapat 6A dan 4C, serta Noranidun Midun (7A,1C) dan Hashimah a/p Ishak (6A,3B), dari SMK Tg Abdullah, Pekan.
Di SEREMBAN, pencapaian calon meningkat dari segi kualiti dan kuantiti di mana 620 calon mendapat keputusan gred cemerlang dalam semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding 590 orang pada 2009.
"Seramai 44 orang calon berjaya memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 15 orang calon pada 2009," kata Pengarah Pelajaran Negeri Abdul Halim Abdul Razak kepada pemberita.
Katanya GPN juga meningkat kepada 5.00, berbanding 5.22 pada 2009 dengan penurunan sebanyak 0.22 mata.
Di KOTA KINABALU, 31,135 calon atau 94.87 peratus daripada 33,383 calon seluruh Sabah mendapat sijil berbanding 94.46 peratus tahun sebelumnya.
"Ini bermakna pencapaian Sabah menunjukkan peningkatan daripada tahun 2009 iaitu sebanyak 0.41 peratus," kata Pengarah Pelajaran Negeri Datuk Dr Muhiddin Yusin.
Katanya seramai 152 orang memperoleh gred A (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran berbanding 95 orang tahun sebelumnya.
"Bilangan pelajar lulus semua mata pelajaran juga telah bertambah iaitu seramai 16,373 orang (49.89 peratus) berbanding 14,417 (43.93 peratus) pada tahun 2009," katanya.
Di ALOR SETAR, Pengarah Pelajaran Negeri Abdullah Saad berkata GPN SPM meningkat kepada 5.39 berbanding 5.56 pada tahun 2009 dan sebanyak 11 buah sekolah telah mencapai Gred Purata antara 0.0 hingga 3.0.
Beliau berkata daripada 36,548 calon yang menduduki peperiksaan itu tahun lalu, seramai sembilan orang memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil.
"Seramai 451 calon atau 1.44 peratus telah berjaya memperoleh gred cemerlang (A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran yang diambil iaitu bertambah kepada 451 orang berbanding 408 orang pada tahun lalu," katanya.
Di JOHOR BAHARU, seramai 1,101 calon mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran berbanding 1,010 calon pada 2009.
"Gred Purata Negeri (GPN) meningkat kepada 5.16 berbanding 5.32 pada 2009, yang terbaik dalam tempoh lima tahun," katanya Pengarah Pelajaran Johor Markom Giran.
Seramai 43,489 calon telah mendapat sijil SPM berbanding 42,370 calon pada 2009.
Di MELAKA, Pengarah Jabatan Pelajaran Melaka Juliah Leman berkata seramai 318 pelajar memperoleh semua A dalam semua mata pelajaran yang diduduki pada SPM tahun lepas berbanding 309 pelajar pada tahun 2009.
"Daripada jumlah itu seramai 21 pelajar memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran," katanya.
Beliau berkata dua orang pelajar lelaki, Ameerul Ashraf Harunarasid dari SBP Integrasi Selandar dan Tan Chun Hao dari SMK Gajah Berang, muncul pelajar terbaik setelah masing-masing memperolehi 11 A+.
Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah muncul sebagai sekolah terbaik pada SPM kali ini dengan memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 1.71 diikuti Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Selandar (1.90) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah (2.72).
Di KUALA TERENGGANU, Pengarah Pelajaran Terengganu Razali Daud berkata seramai 405 calon memperoleh A dalam semua mata pelajaran berbanding 283 calon pada tahun 2009.
Seramai 17 calon pula memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil, berbanding hanya lima orang pada tahun sebelumnya.
Razali berkata peratus calon lulus dalam semua mata pelajaran meningkat kepada 12,182 calon berbanding 11,601 pada tahun 2009. Di PULAU PINANG, Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata seramai 869 calon memperoleh gred cemerlang (A+, A dan A-) bagi semua mata pelajaran.
Seramai 25 calon pula memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran.
Beliau berkata sebanyak 20 buah sekolah mencapai keputusan 100 peratus dan antaranya ialah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Perempuan Cina Pulau Pinang, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Jit Sin, Sekolah Menegah Kebangsaan Agama Al Irsyad, Sekolah Menengah Sains Kepala Batas dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul.
Dua calon pendidikan khas iaitu Eugenia Cheah Lyngene (4A+,4A-,1B+) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Pulau Tikus dan S. Narayana Samy (2A+,1A, 2A-,3B+) dari SMK Haji Zainal Abidin di sini adalah antara 25 calon terbaik.
Di IPOH, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Mohd Idris Ramli berkata seramai 840 calon memperoleh semua A dalam SPM 2010.
Daripada jumlah itu, seramai 32 calon memperoleh A+ iaitu gred Cemerlang Tertinggi dalam semua mata pelajaran yang diambil.
Dua orang calon berjaya memperolehi 11 A+ adalah R. Srivindiya dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari Tanjung Malim dan M. Lalina Priya dari SMK Methodist, Tanjung Malim.
Sekolah harian terbaik ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ave Maria, Ipoh, SMK Taman Tasek, Taiping, SMK Perempuan Methodist, Ipoh dan SMK Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment