Friday, November 12, 2010

48,327 Calon UPSR 2010 memperoleh keputusan Cemerlang Semua A

48,327 Calon UPSR 2010 memperoleh keputusan Cemerlang Semua A

(11 Nov 2010, Bernama) -- Seramai 48,327 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini memperoleh keputusan cemerlang semua A, meningkat kepada 10.02 peratus daripada 9.51 peratus tahun lepas.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata keputusan itu merupakan pencapaian terbaik bagi tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN), indeks yang digunakan untuk menunjukkan pencapaian calon di seluruh negara.

"Syukur Alhamdulilah, peratusan calon yang berada di bawah tahap pencapaian minimum (semua D/E atau kombinasi kedua-duanya) telah berkurangan daripada 3.99 peratus kepada 3.39 peratus pada tahun ini," katanya ketika mengumumkan keputusan UPSR di sini Khamis.

Bagaimanapun, kata Abdul Ghafarm, peratusan calon yang mendapat minimum gred C menurun 1.37 peratus berbanding tahun lalu.

Seramai 482,334 calon menduduki peperiksaan itu tahun ini.

Abdul Ghafar berkata pencapaian calon luar bandar dan bandar turut meningkat, dan ini telah merapatkan jurang pencapaian calon cemerlang sebanyak 0.04 peratus.

"Peningkatan calon dapat dilihat secara keseluruhan melalui nilai GPN yang mengecil iaitu 0.01 bagi bandar dan 0.05 bagi luar bandar," katanya.

Abdul Ghafar berkata bilangan calon istimewa yang menduduki peperiksaan itu tahun ini bertambah 184 orang dan terdapat peningkatan 1.97 peratus bagi calon yang mendapat pencapaian baik.

Daripada segi prestasi mata pelajaran, bagi Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), peratusan calon yang mendapat gred A bagi mata pelajaran matematik meningkat 1.9 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala mata pelajaran Sains yang meningkat 1.7 peratus berbanding 2009.

Abdul Ghafar berkata terdapat peningkatan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman di SK yang memperoleh Gred A iaitu sebanyak 4.5 peratus manakala prestasi Bahasa Melayu Penulisan menurun 8.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata analisis prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris SK dan SJK dibuat berasingan kerana waktu pembelajarannya dan cakupan kandungannya adalah berbeza.

Prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris di SK dan SJK pula menunjukkan peningkatan pada Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) iaitu masing-masing sebanyak 2.74 peratus pada tahun ini (2.79 tahun lalu) dan 2.69 peratus (2.80).

GPMP adalah indeks yang digunakan untuk menunjukkan prestasi mata paelajaran iaitu nilai yang lebih kecil menunjukkan pencapaian lebih baik.

Abdul Ghafar berkata bahawa tahun ini merupakan tahun kedua Ujian Aptitud atau potensi diri membabitkan pelajar Tahun 6 dilaksanakan yang keputusannya turut diambil kira sebagai satu daripada syarat pemilihan ke sekolah berasrama penuh, selain keputusan UPSR dan maklumat latar belakang calon.

Ujian itu berdasarkan dua kemahiran iaitu berfikir dan menyelesaikan masalah serta membuat keputusan.

Abdul Ghafar berkata keputusan ujian itu pada tahun ini menunjukkan peningkatan mendadak kecenderungan pelajar terhadap bidang sosial dan budaya serta sukan berbanding bidang teknik dan vokasional, dan akademik pada tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu bukan satu ukuran pencapaian kerana kecenderungan itu mungkin boleh berubah mengikut masa, persekitaran, pengaruh rakan sebaya dan maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber.

"Ia hanya sebagai satu petunjuk, ia tidak mutlak. Kita akan lihat apa sebabnya dan kenapa berlaku kurangnya kecenderungan pelajar terhadap bidang akademik serta teknik dan vokasional," katanya.

Abdul Ghafar berkata ujian itu telah berjaya mengumpul maklumat tentang minat, potensi dan kecenderungan pelajar pada akhir tahun persekolahan sekolah rendah di peringkat nasional yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dalam membentuk modal insan yang berkualiti pada masa hadapan.

Jawatankuasa Khas Ditubuh Kaji Penambahbaikan Kandungan Subjek Sejarah

Jawatankuasa Khas Ditubuh Kaji Penambahbaikan Kandungan Subjek Sejarah

(1 Nov 2010, Bernama) -- Kementerian Pelajaran akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji dan mengesyorkan penambahbaikan ke atas kandungan serta kaedah pengajaran dan pembelajaran Sejarah yang dijadikan subjek wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata jawatankuasa itu yang anggotanya termasuk pakar-pakar sejarah negara akan memberi tumpuan kepada usaha menambah baik subjek Sejarah dengan melibatkan aspek seperti pembentukan negara, perlembagaan negara, sejarah Malaysia moden dan perpaduan nasional.

"Ini bertujuan untuk pembentukan kefahaman yang lebih mendalam terhadap sejarah negara bangsa agar dapat menerapkan jati diri unggul masyarakat Malaysia sejak dari bangku sekolah lagi," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2011 bagi Kementerian Pelajaran.

Menurutnya bagi membolehkan murid Sekolah Rendah turut menghayati sejarah, bermula 2014 di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), mata pelajaran Sejarah juga akan dijadikan mata pelajaran teras.

"Sebelum ini, pada peringkat rendah, elemen Sejarah hanya diajar melalui mata pelajaran Kajian Tempatan," katanya.

Mohd Puad juga berkata Kementerian Pelajaran masih mengekalkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Tahun Enam namun akan membuat penambahbaikan menjelang 2016 dengan penekanan ujian diberikan sebanyak 60 peratus berdasarkan lima mata pelajaran teras, manakala 40 peratus lagi diambil melalui pentaksiran sekolah yeng meliputi aktiviti kokurikulum dan psikometrik yang melibatkan ujian kecenderungan dan personaliti.

Bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR), beliau berkata penambahbaikan dilaksanakan dalam bentuk Pentaksiran Berasaskan Sekolah sepenuhnya yang dipantau oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Katanya antara komponen utama termasuklah mata pelajaran dipelajari, kegiatan kokurikulum, ujian kecenderungan dan personaliti.

"Bagaimanapun cadangan penambahbaikan ini akan diteliti secara terperinci dalam semua aspek, sehinggalah mendapat kata putus yang benar-benar mantap sebelum pelaksanaannya bermula.

"Ingin saya tegaskan bahawa penambahbaikan ini tidak akan merugikan murid, malahan objektif utama penambahbaikan adalah untuk melahirkan modal insan yang holistik dan berkeupayaan tinggi dalam semua aspek," katanya.

Sementara itu Mohd Puad berkata Kementerian Pelajaran tidak menetapkan syarat kepada guru yang akan mengajar subjek Bahasa Malaysia di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) perlu fasih dan menguasai Bahasa Mandarin.

Katanya syarat-syarat sedemikian boleh menghalang usaha kerajaan untuk meningkatkan keupayaan penguasaan Bahasa Malaysia di kalangan pelajar sekolah jenis kebangsaan.

"Adakah Yang Berhormat (Bukit Mertajam) boleh memberi jaminan jika sekiranya mengajar Bahasa Melayu menggunakan Bahasa Cina, pelajar akan faham Bahasa Malaysia dengan lebih baik.

"Tidak timbul bahawa guru Bahasa Malaysia mesti menguasai Bahasa Mandarin untuk mengajar di SJKC. Ini pada saya adalah syarat-syarat yang tidak munasabah dan tidak patut dikenakan dalam memastikan penguasaan Bahasa Malaysia di SJKC di Malaysia," jelasnya.

Mohd Puad berkata pelbagai usaha akan terus dilaksanakan bagi melahirkan pendidik berkualiti dalam sistem pendidikan negara termasuk menambah baik sistem pemilihan calon guru, memantapkan latihan perguruan, latihan kepimpinan dan pengurusan sekolah, melonjakkan kecemerlangan institusi latihan perguruan dan memperluas laluan kerjaya serta kebajikan guru.